Boikot Parlimen1

Dalam PRU-13 yang lalu, parti pembangkang yang terdiri dari DAP, PKR dan PAS yang bernaung di bawah gabungan tidak berdaftar yang dikenali sebagai PR secara keseluruhannya telah menguasai 89 kerusi Parlimen selain mengekalkan tiga buah negeri.

DAP kekal sebagai abang besar apabila memiliki 38 kerusi Parlimen sementara PKR 30 dan PAS pula meneruskan tradisinya sebagai pak turut bila mana menguasai 21 kerusi Parlimen sahaja.

Dilihat pada jumlah 89 kerusi Parlimen yang dimiliki pembangkang, seharusnya ia membanggakan pimpinan mereka kerana buat kali kedua selepas PRU-12 2008 mereka berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN.

Rentetan dari keputusan itu juga, Kelantan yang dimenangi kembali PAS tampil sebagai negeri pembangkang yang terawal selesai upacara angkat sumpah Menteri Besar yang baru pada 6 Mei 2013 diikuti Kerajaan DAP Pulau Pinang pada keesokan harinya.

Berdasarkan perkembangan itu, jelas DAP dan PAS menerima keputusan PRU-13 namun di masa yang sama ada ramai pemimpinnya yang bersekongkol bersama Anwar Ibrahim untuk memboikot keputusan PRU-13 yang dikatakan penuh penipuan, meragukan dan tidak telus.

Suasana kontradiks ini dipanaskan lagi dengan ura-ura PR untuk memboikot pembukaan Sidang Dewan Rakyat bermula 24 Jun 2013 dan semalam 88 Ahli Parlimen parti pembangkang tidak hadir dalam majlis Taklimat Ahli-Ahli Dewan Rakyat Parlimen Ke-13.

Jika hanya satu pertiga atau separuh yang tidak hadir, ia mungkin kerana ada antara mereka yang mempunyai urusan lain. Bila mana 88 dari 89 orang yang gagal tampil ke majlis tersebut, jelas sekali ia satu bentuk boikot yang sudah disepakati.

Seimbas lalu sepertinya pada 24 Jun 2013 nanti adalah kemuncak kempen boikot oleh PR di mana-mana masing-masing setiap wakil rakyatnya di peringkat Parlimen akan memboikot acara angkat sumpah sekali gus 6 bulan kemudiannya akan wujud 88 pilihan raya kecil (PRK) di seluruh negara.

Boikot Parlimen

Namun semalam dalam Sinar Harian Edisi Selangor & KL, muka depannya bertajuk “Buat Apa Boikot” telah memaparkan kenyataan Ahli Parlimen DAP dan PAS yang rata-ratanya akan hadir untuk upacara angkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pada 24 Jun 2013 nanti.

Sekali lagi wujud kontradiks yang jelas nyata dan senario terbaru ini mencerminkan tindakan mereka memboikot sesi taklimat semalam hanyalah satu sandiwara barangkali untuk memanaskan semangat penyokong PR sementara menjelang perhimpunan bantahan terbaru PR pada hujung minggu ini.

Dari sudut lain, ia memberi gambaran ramai sebenarnya pemimpin DAP dan PAS sedang berada di persimpangan dilema, antara melayan kekecewaan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yang gagal menjadi Perdana Menteri atau pun mendahulukan kepentingan parti masing-masing.

Jika mereka memboikotnya kesannya ia menguntungkan BN kerana dari 88 PRK, sudah pasti hampir sebahagiannya akan dimenangi BN kerana para pengundi tentunya tidak akan memberi peluang kepada PR apatah lagi membiarkan pengkhianatan yang sama berulang.

Boikot atau tidak, kedua-duanya hanya menguntungkan BN. Imej DAP dan PAS sudah hancur kerana terjerat dengan sikap flip-flop sendiri selain terperangkap dengan mainan sandiwara Anwar dan PKR.

Secara jujurnya, penulis percaya sandiwara boikot serta pelbagai protes yang dilagukan pemimpin pembangkang kala ini akhirnya akan tamat apabila pada 24 Jun 2013 masing-masing akan tampil di Dewan Rakyat sambil tersengih macam kerang busuk.

Anwar Ibrahim has been critical of the New Eco...

Advertisements